Lazada Malaysia

Rabu, 3 Mei 2017

Kes Arwah Thaqif : Pembantu Warden Sujud Syukur



Kota Tinggi: Pembantu warden yang ditahan bagi membantu siasatan kematian bekas murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, berhenti seketika di pekarangan mahkamah dan sujud syukur selepas dibebaskan dengan jaminan bon mahkamah sebanyak RM20,000 di sini, hari ini.
Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Salawati Djambari selepas membenarkan permohonan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Kota Tinggi, Asisten Superintendan Mohd Fairos Ithnin mengikut Seksyen 118 Kanun Acara Jenayah.
Bagaimanapun, siasatan lanjut terhadap suspek masih dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dan pihak polis masih menunggu laporan kimia dan bedah siasat.
Terdahulu, suspek lelaki berusia 29 tahun yang berpakaian lokap berwarna jingga itu dibawa ke mahkamah di sini, pada 12.15 tengah hari sebelum dibawa masuk ke Bilik Pendaftar pada 12.45 tengah hari.
Suspek yang dijamin oleh abang kandungnya kemudian dibawa keluar dari Bilik Pendaftar kira-kira 1 petang tanpa bergari dan dilihat sempat berdoa dan sujud syukur.
Suspek pada mulanya ditahan reman empat hari pada 23 April lalu sebelum disambung tiga hari sehingga 29 April bagi siasatan mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2010.
Bagaimanapun, selepas siasatan berhubung kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh susulan kematian mangsa pada 26 April lalu, tempoh reman terhadap suspek dilanjutkan tujuh hari bermula 27 April hingga hari ini bagi siasatan mengikut Seksyen 302 KK.
Suspek ditahan di rumahnya di Felda Lok Heng Barat di sini, jam 4 petang, 22 April lalu selepas ibu Mohamad Thaqif Amin membuat laporan polis yang mendakwa anak ketiga daripada lima beradik itu dikatakan dipukul dengan paip getah pada tapak kakinya sehingga menyebabkan kecederaan.
Kedua-dua belah kaki mangsa dipotong pada 21 April, dipercayai akibat jangkitan kuman, manakala tangan kanannya yang turut dipercayai dijangkiti kuman sepatutnya dipotong bagi menyelamatkan nyawanya pada pagi 26 April, bagaimanapun pembedahan itu ditangguhkan kerana keadaan jantungnya tidak stabil sebelum kanak-kanak berusia 11 tahun itu meninggal dunia jam 2.05 petang di Hospital Sultan Ismail (HSI) Johor Bahru.

Kredit : Harian Metro
Banner saiz 468x60 nurraysa

Viral : Tapah Gergasi


JERANTUT - Pada April lepas, penduduk Kampung Jerantut Feri digemparkan dengan kemunculan ikan tapah seberat hampir 50 kilogram dan sepanjang 1.5 meter yang ditangkap oleh salah seorang nelayan darat di situ.

Nelayan berkenaan, Roslan Mohamad Napiah, 45, berkata, dia menangkap ikan itu menggunakan sauk besar dikenali sebagai candit.

Roslan yang bekerja sendiri memberitahu, Isnin lalu dia turun ke sungai  jam 10.30 pagi untuk meninjau keadaan sangkar ikan miliknya yang dikongsi bersama rakan.

Tambahnya, selepas melihat sangkar ikannya, dia kemudian mencandik ikan di sungai menggunakan bot dan candik miliknya.

“Masa tengah candik ikan, tiba-tiba candik saya direntap kuat. Lepas tu saya tengok ikan yang tersangkut pada candik adalah ikan tapah.

“Disebabkan disentap agak kuat, saya terlepas candik tu. Masa tu kecewa juga. Tapi dalam 15 minit kemudian saya nampak candik saya tersangkut pada sangkar ikan.

“Saya tengok ikan tu masih lagi tersangkut pada candik. Disebabkan tak boleh bawa bot ke situ, saya pun berenang dan tarik candik ke tebing, tangkap dan letak ikan tapah dalam bot,” katanya.

Roslan berkata, selama lebih lima tahun menjadi nelayan darat, itulah kali pertama dia melihat dan menangkap ikan tapah sebesar itu.

“Saya kemudian menyeberang ke tebing sungai belakang rumah dan panggil isteri untuk sama-sama angkat ikan tapah tu.

“Ikan itu mempunyai kepanjangan melebihi ketinggian saya, ekor masih mencecah tanah walaupun kepala berada di bahu saya,” katanya.

Menurutnya lagi, berita penangkapan ikan tapah itu tersebar melalui aplikasi WhatsApp dan sebaik dinaikkan ikan itu, penduduk mula mengerumuni rumahnya.

“Saya minta bantuan rakan dan mereka cadang saya jual ikan tu ikut kilo kepada penduduk. Kami menjualnya di simpang masuk tapak pasar malam Jerantut Feri.

“Kami timbang ikan tu dan dapati beratnya cecah lebih kurang 50 kilogram. Sekilo ikan tapah saya jual RM40 dan telah terjual sebanyak 30kg.

“Saya anggap ia rezeki kami dan anak. Wang saya peroleh dapat saya belanja untuk keluarga,” katanya.
Roslan berkata, ikan tapah yang ditangkapnya itu betina berdasarkan telur seberat dua kilogram yang ditemui dalam perutnya.

“Telur ikan tu saya agih kepada rakan yang bantu jual. Saya ambil bahagian kepala ikan untuk dimakan bersama keluarga,” katanya.

Penangkapan ikan tapah besar itu sekali gus menaikkan nama Roslan yang juga dikenali sebagai Lan Tapah kerana dia sering berjaya menangkap ikan tapah yang jarang diperoleh itu.

Isi macam ayam, kulit liat

Sementara itu, isteri Roslan, Mastura Mohamad Salleh, 43, pula berkata, walaupun sudah tiga kali masak, namun bahagian kepala ikan tapah yang dibawa balik suaminya itu masih belum habis dimakan.

“Suami bawa balik separuh bahagian kepala ikan tapah dan separuh lagi dijual. Setakat ini saya dah goreng, masak gulai asam rong dan gulai tempoyak.

“Masih ada lagi baki ikan tu dan saya simpan untuk dua anak kami di asrama. Lepas ni saya nak masak gulai lemak cili api pula,” kata ibu kepada tujuh anak itu.

Bercerita tentang isi ikan tapah itu, Mastura berkata, teksturnya seakan-akan ayam, manakala kulit ikan itu agak liat berbanding ikan tapah yang bersaiz lebih kecil.

“Disebabkan susah nak dapat ikan ni, saya cadang nak cuba pelbagai resipi. Lepas ni entah bila boleh rasa lagi," katanya.

Mastura berkata, sebaik berita penemuan tapah besar itu, rumahnya dikunjungi jiran yang datang melihat dan bergambar.

Dalam pada itu, seorang lagi nelayan darat sambilan Kampung Nyior, Pedah, di sini, Zaidi Basar, 45, berkata, penemuan ikan tapah seberat 50 kilogram itu pernah berlaku sekitar 17 tahun lalu.
“Pada 2000 ada salah seorang penduduk sini dapat tangkap ikan tapah seberat itu. Ia memang perkara yang jarang-jarang berlaku.

“Bila ada ikan sebesar itu, memang penduduk teruja. Malah dalam kalangan nelayan darat, kami gelar orang dapat ikan sungai besar sebagai ‘kaya hindustan’ kerana tuah dan keuntungan sementara yang diperoleh mereka,” katanya.

Zaidi berkata, ikan besar kebiasaannya akan muncul awal tahun iaitu dari Januari sehingga April.
“Namun ia bergantung kepada air sungai sama ada besar atau surut. Ada jenis ikan besar muncul ketika air surut dan ada juga jenis ikan muncul ketika air besar,” katanya.

Bercerita pengalamannya menjadi nelayan darat sejak lebih 30 tahun, Zaidi berkata, dia sendiri pernah menangkap ikan tamalian seberat 34 kilogram sekitar bulan lalu di mana ikan itu terpaksa dilepaskan kerana penangkapan spesies tamalian masih dalam kawalan.

“Terdapat akta yang tidak membenar kami tangkap dan jual ikan tamalian bermula Januari sehingga April kerana ketika ini, ikan yang hampir pupus itu dalam tempoh bertelur dan membiak,” katanya.

Ikan besar naik lepas banjir

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lada, Mazlan Abd Malek pula berkata, tapah besar sukar diperoleh dan bergantung kepada nasib.
“Jika zaman dahulu, ikan tapah mudah didapati sehinggakan dijual murah. Namun sekarang harganya boleh cecah lebih RM45 sekilo.


“Bukan sahaja ikan tapah, malah ikan sungai lain juga. Biasa ikan besar naik lepas banjir. Tambahan pula pada awal tahun ini kemungkinan ikan-ikan itu hendak balik ke lubuk asal mereka untuk bertelur dan secara kebetulan ditangkap oleh nelayan di sini,” katanya.

Kredit : Sinar Harian

Gaduh di Hospital Ampang - Dua Remaja Ditahan




AMPANG - Polis menahan dua lagi individu bagi membantu siasatan berhubung pergaduhan yang tercetus di Jalan 4, Pandan Mewah, bersebelahan Hospital Ampang, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, dua remaja berusia 21 dan 22 tahun itu ditahan semalam, di sekitar Kuala Lumpur.

“Polis menahan dua remaja ini bagi membantu siasatan berhubung insiden pergaduhan tempoh hari.
“Kedua-dua mereka direman sehingga esok,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Dalam pada itu, Hamzah tidak menolak kemungkinan akan membuat beberapa tangkapan dalam masa terdekat.
Katanya, pihaknya sedang mengumpul maklumat berkaitan dan siasatan masih dijalankan.

Dalam insiden kira-kira jam 3.15 pagi itu, dianggarkan seramai 80 individu telah bergaduh menggunakan topi keledar.

Anggota polis yang melihat kejadian telah menghampiri kumpulan terbabit dan mengarahkan mereka bersurai, namun tidak diendahkan sebelum polis menahan dua lelaki dan merampas parang sepanjang kira-kira 54 sentimeter selain dua buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR dan Yamaha LC135.

Kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

Kredit : Sinar Harian

Jumaat, 28 April 2017

Kes Thaqif : Kementerian Kesihatan Cuba Percepat Bedah Siasat

Dr Hilmi Yahaya


MELAKA - Kementerian Kesihatan akan cuba mempercepatkan laporan siasatan bedah siasat punca kematian pelajar tahfiz Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, kata Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya.

Beliau berkata, ini kerana kematian kanak-kanak berumur 11 tahun itu kini menjadi kes berprofil tinggi selain menjadi perhatian umum dan pihaknya kini sedang melakukan yang terbaik agar tindakan lanjut dapat dilakukan segera.

"Laporan bedah siasat masih dalam proses dan kita belum mendapat apa-apa maklumat lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Saintifik dan Sambutan Hari Juruteknologi Makmal Perubatan peringkat kebangsaan ke-3 di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman rasmi Facebooknya semalam yang mahu supaya siasatan kes kematian Mohamad Thaqif Amin dipercepatkan.

Mohamad Thaqif Amin meninggal dunia petang semalam ketika sedang dalam rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Kisah Mohamad Thaqif Amin yang dimasukkan ke HSI pada 19 April menjadi tular di media sosial selepas dia dilapor mengalami kecederaan pada bahagian kaki sejak dua minggu lepas dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden madrasahnya.

Selepas kedua-dua belah kakinya dipotong, tangan kanan Mohamad Thaqif Amin pula dijangkiti kuman akibat darah beku  dan  dijadualkan  dipotong dari jari hingga bawah siku semalam, namun pembedahan ditangguhkan kerana jantung pelajar itu dilapor tidak stabil.

Dr Hilmi juga berkata, pihak sekolah milik kerajaan atau swasta diminta lebih berhati-hati dan membuat semakan kesihatan atau latar belakang seseorang individu terutama mereka yang mahu diambil sebagai pendidik.

Sementara itu beliau berkata pengamal perubatan terutama golongan pakar di negara ini disaran agar terus meningkatkan kepakaran mereka dalam bidang masing-masing bagi memenuhi keperluan semasa dalam industri perubatan di dalam dan luar negara.

Katanya inisiatif berkenaan ialah bagi memastikan industri perubatan negara tidak ketinggalan di belakang negara lain selain menjadikan golongan berkenaan boleh dipasarkan terutama di negara luar.

"Pakar kita terutama dalam bidang pembedahan jantung banyak mendapat permintaan daripada negara luar bukan hanya secara individu tetapi secara berkumpulan. Mereka bukan hanya hendakkan pakar tetapi kumpulan pakar berkenaan juga termasuk jururawat dan ini adalah satu penghormatan pada kita," katanya.

Beliau berkata, setakat ini negara mempunyai kira-kira 9,000 pakar perubatan di hospital kerajaan dan swasta meliputi 120 bidang termasuk dalam perubatan, pembedahan dan ortopedik. 

Kredit – Bernama

Maut Dilanggar Suami Sendiri



SINGAPURA - Seorang wanita berusia 64 tahun maut selepas dilanggar secara tidak sengaja oleh suaminya sendiri.

Selepas melanggar isterinya, lelaki yang panik turut melanggar tiang di blok Lembaga Perumahan kira-kira 10 meter dari lokasi kejadian, kata saksi.

Kejadian berlaku kira-kira 7.50 petang di tempat letak kereta Blok 332, Ang Mo Kio Avenue 1.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) memberitahu Strait Times, mereka dimaklumkan insiden berkenaan pada jam 7.51 dan sebuah ambulans dihantar.

"Seorang wanita berusia 64 tahun, tidak sedarkan diri ketika dibawa ke Hospital Tan Tock Seng di mana dia kemudiannya meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami. Siasatan sedang dijalankan," kata polis.

Pelajar Goh Xinyi yang berada di kedai optik ibunya di Blok 332, Ang Mo Kio Avenue 1 berdekatan lokasi kejadian berkata, dia dan ibunya mendengar dentuman kuat kira-kira jam 8 malam.

"Kami keluar dan melihat seorang wanita tua terbaring dalam keadaan berlumuran darah di sekitar kepalanya.
"Seorang lelaki beusia dalam lingkungan 50an dan 60an melutut di sebelah tubuh wanita itu dan kelihatan sangat tertekan dan berulang kali menyebut "Dia isteri saya dan mengapa saya melanggarnya" dalam bahasa Mandarin," kata Goh.

Menurut Goh lagi, lelaki itu memberitahunya, dia secara tidak sengaja melanggar isterinya yang berada bertentangan di tempat letak kereta iaitu kira-kira 10 meter dan dalam keadaan panik dia terpijak gear yang salah dan menyebabkan dia turut melanggar tiang berhampiran blok 332.

Seorang pejalan kaki yang enggan namanya didedahkan berkata, kereta itu juga telah melanggar dua motosikal ketika merempuh tiang.

Kredit : Sinar Harian

Khamis, 27 April 2017

Kes Bunuh - Kematian adik Arwah Thaqif

Status Twitter yang di muat naik oleh Ketua Polis Negara


Kuala Lumpur: Polis mengklasifkasikan semula kes bekas murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Kota Tinggi, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar melalui laman Twitter miliknya turut mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
"PDRMsia ucapkan takziah kepada keluarga anak ini dan mengklasifikasikan semula siasatan di bawah Seksyen 302 bunuh," katanya.
Dalam satu lagi twitnya, Khalid berkata, polis akan mendapatkan laporan penuh perubatan untuk siasatan segera.
"PDRMsia akan dapatkan laporan penuh perubatan dan lengkapkan siasatan dengan segera," katanya.
Mohamad Thaqif meninggal dunia jam 2 petang tadi ketika mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI) akibat jangkitan kuman.

Kredit : Harian Metro
Banner saiz 468x60 nurraysa

Rabu, 26 April 2017

Mangsa Dera - Mohd Thaqif Meninggal Dunia

PELAJAR madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, 11, meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, sebentar tadi.



JOHOR BAHRU: Pelajar madrasah tahfiz, Mohamad Thaqif Amin Mohd Gaddafi, meninggal dunia sebentar tadi, ketika dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini.

 Kanak-kanak berusia 11 tahun itu meninggal dunia jam 2.05 petang selepas doktor menangguhkan pembedahan memotong tangan kanannya yang sepatutnya dilakukan hari ini kerana jantungnya tidak stabil. 

Jumaat lalu, kedua-dua kaki Mohamad Thaqif terpaksa dipotong sejak dimasukkan ke HSI dua minggu lalu kerana ada darah beku selepas didakwa disebat oleh seorang pembantu warden madrasah tahfiz di Kota Tinggi itu. 

Ibu saudaranya, Dzuraidah Ahmad, berkata Mohamad Thaqif meninggal dunia di wad unit rawatan rapi (ICU) hospital berkenaan. Jenazah kini masih berada di HSI dan dijangka dibawa pulang ke kediaman ibu bapanya di Ulu Tiram di sini.

Kredit : Berita Harian

Kes Arwah Thaqif : Pembantu Warden Sujud Syukur

Kota Tinggi: Pembantu warden yang ditahan bagi membantu siasatan kematian bekas murid Madrasah Tahfiz Al Jauhar, Mohamad Thaqif Amin ...